1.0 PENGENALAN DAN LATAR BELAKANG
Hasrat murni Falsafah Pendidikan
Malaysia ialah untuk melahirkan insan dan warga Malaysia yang seimbang dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tetapi hasrat ini sentiasa tercabar
apabila masalah disiplin dan devian semakin bermaharajalela dewasa ini di
kalangan pelajar-pelajar sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukannya
tidak sedar dengan gejala sosial remaja yang kronik ini. Beberapa strategi
telah, sedang dan akan dilakukan demi membawa masalah itu ke tahap yang paling
minima. KPM memberi penekanan kepada aktiviti kokurikulum seperti sukan, badan
beruniform serta persatuan di samping kem-kem bina semangat dan motivasi. Namun
masalah disiplin dan devian di kalangan pelajar sekolah masih tidak dapat
ditangani.
Sekolah merupakan suatu tempat untuk
pelajar belajar dan menerima pengajaran daripada guru dan sendiri. Sebagai sebuah
organisasi yang formal, sekolah mempunyai ciri-ciri organisasi yang kompleks
yang lazimnya wujud hari ini. Ia mempunyai matlamat, khususnya untuk melahirkan
manusia terdidik dan berguna kepada negara. (Rahimah Hj.Ahmad, 1982:75).
Jelaslah bahawa seseorang pelajar itu akan menjadi insan yang soleh, terdidik
dan berguna kepada masyarakat apabila dia tamat zaman persekolahannya. Tetapi,
sebaliknya sedang berlaku dan kini para ibu bapa dan masyarakat secara umumnya sudah
dihantui kebimbangan apabila melihat anak-anak mereka mula bergiat dalam arena
gejala sosial.
2.0 SASARAN KAJIAN
Kajian
ini dilakukan untuk meninjau masalah ponteng iaitu masalah disiplin dan devian
yang paling serius di kalangan pelajar sekolah menengah. Kajian ini telah
dijalankan di sebuah sekolah menengah di Batu Gajah (Daerah Kinta Selatan).
Pelaporan kajian akan diterangkan dalam Kes 1 dan Kes 2. Aspek-aspek yang akan
dikaji ialah faktor-faktor, amalan serta sikap pesalah dan pandangan mereka
terhadap proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Seterusnya, Hussein Mahmood dan Kamaruddin Abdul Rahman mendapati bahawa
masalah besar yang dihadapi oleh pelajar adalah masalah yang berkaitan keluarga
dan rumah. Keadaan ini dikaitkan dengan masalah disiplin
kendiri dan psikologi.
Kajian Kes 1 ini adalah berlandaskan
Teori Interactionism yang
berpendapat bahawa devian dan delinkuen sebagai suatu proses sosial yang biasa.
Ia merupakan salah satu proses yang harus dilalui oleh segolongan remaja dalam
mengharungi alam menjelang kedewasaan. Ia juga dilihat sebagai satu proses naturalisasi
dalam interaksi mereka. Pelajar sengaja memilih tingkah laku tertentu mengikut
kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasikan sesuatu.
Pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik naturalisasi dalam interaksi
mereka. Kajian Kes 2 adalah berdasarkan Teori
Sub-Budaya dan. Teori ini pula menyatakan, devian dan delinkuen berpunca
daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi
selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja
terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya
dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan
devian. Kewujudan geng atau kongsi gelap adalah bentuk paling nyata dari
pelanggaran tersebut. Teori ini dipengaruhi kondisi intelektual aliran Chicago,
konsep anomie Robert Merton dan Soloman Kobrin yang melakukan pengujian erhadap
hubungan antara geng jalanan dengan lelaki yang berasal dari komuniti kelas bawah.
3.0 DISIPLIN, DEVIAN DAN DELINKUEN
“Kelakuan
yang menyimpang secara significant daripada norma-norma yang ditentukan untuk
individu dalam status sosial…,ia tidak dapat dipelihara secara abstrak tetapi
perlu dikaitkan dengan norma-norma yang dianggap oleh masyarakat sebagai
munasabah dan morally binding bagi orang menduduki status yang berlainan.”
- Albert Cohen, Deviance and
Control
“Kelakuan
mengikut arah yang tidak dipersetujui, yang bertentangan dengan norma dan
darjatnya melebihi had toleransi sesuatu masyarakat”
-Robert Merton, Anomie and Social Structure
3.1 Disiplin
Disiplin
adalah merujuk kepada kebiasaan yang diamalkan dalam mematuhi garis panduan dan
arahan.
3.2 Devian
Apabila
seseorang itu melanggar peraturan atau norma yang ditetapkan oleh sesuatu
masyarakat tertentu dan dalam kes ini masyarakat dikatakan sebagai institusi
sekolah, maka individu ini dikatakan bersifat devian. Devian lebih merujuk
kepada tingkah laku atau pun behaviour seseorang tanpa mengira umur dan tidak
konvensional
3.3 Delinkuen
Delinkuen
pula merupakan sekumpulan manusia yang mempunyai ciri-ciri khasnya mereka yang
masih bersekolah dan belia. Kumpulan ini merupakan devian dalam masyarakat yang
tertentu, yakni sekolah merupakan tumpuan perbincangan kita.
Jelaslah bahawa, disiplin merupakan
garis panduan manakala devian ataupun delinkuen pula merupakan individu dan
sekumpulan manusia yang tidak mematuhi garis panduan ini.
4.0 GEJALA PONTENG SEKOLAH
Ponteng
sekolah adalah salah satu masalah disiplin yang seringkali dilakukan oleh
pelajar sekolah. Ponteng didefinisikan sebagai perbuatan yang menjauhkan diri
daripada sekolah tanpa sebarang alasan, tanpa kebenaran guru mahupun ibubapa.
Masalah ponteng bukanlah suatu perkara yang baru dalam dunia persekolahan
khususnya di negara kita.
Masalah
atau kes ponteng dapat dikategorikan kepada enam iaitu;
- Ponteng
kelas/mata pelajaran,
- Ponteng
sekolah tanpa surat daripada pihak ibu bapa,
- Ponteng
perhimpunan,
- Ponteng
ujian bulanan, ponteng kegiatan luar/aktiviti kokurikulum
- Ponteng
peperiksaan.
Kes
ponteng tanpa surat daripada pihak ibu bapa merupakan kes paling popular.
Kedua-dua kes yang akan diketengahkan dalam kajian ini adalah dalam kategori
kes ponteng tanpa sebab atau ponteng sekolah tanpa surat daripada ibu bapa.
Faktor utama yang mempengaruhi Kes 1 dan Kes 2 ialah pengaruh rakan dan situasi
keluarga.
4.1 KES 1
Latar belakang
Seorang pelajar yang berumur 15
tahun dan merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Ayah sasaran
kajian ( K1) ialah seorang pekebun yang mempunyai sebuah kebun sayur dan
menternak ayam kampong di kawasan Lahat berhampiran rumahnya. Dia dibantu oleh
isterinya. Hasil daripada kebun dijual di pasar Batu Gajah dan di pasar-pasar
malam yang berhampiran. Hasil daripada jualan itu hanya cukup untuk menyara
keluarga. Kedua-dua ibu bapanya sentiasa menyayangi anak-anaknya dan K1. Rumah
mereka yang terletak di sebuah kampong Cina ini adalah usang dan dijadikan
tempat berteduh dan tidur sahaja. Kediaman yang tidak selesa ini gagal
menggalakkan ahli keluarga dan K1 ini berehat di dalam rumah. K1 berasa lebih
selesa berada di luar rumah pada siang hari. John Robertson (1981) juga menyatakan
keruncingan dalam keluarga, pertelingkahan ibu bapa, ibu bapa bengis, keluarga
yang ramai, kurangnya perhatian kanak-kanak oleh penjaga dan taraf pekerjaan
penjaga rendah akan mempengaruhi emosi pelajar dan tingkah laku.
Terdapat
kira-kira 15 buah rumah atau keluarga
yang berada di tahap serba kekurangan dan mereka sering berkumpul dan
berbual-bual sahaja ketika masa lapang.
K1 dalam suatu temubual, telah
menyatakan bahawa dia sangat jarang membantu ibu bapanya di kebun dan bapanya
lebih suka anak-anaknya tinggal sahaja di rumah dan belajar. Ivor Morrish
(1975) menyatakan, ibu bapa perlu
menolong anak-anak supaya layak memasuki masyarakat mereka
Kebebasan dan kepercayaan yang diberi telah disalahgunakan oleh K1. Harapan ibu
bapanya itu tidak pernah dihayati.
4.1.1 Aktiviti
K1 akan menaiki bas ke sekolah
bersama-sama rakan- rakannya daripada kampung yang sama dan dari sekolah
berhampiran yang lain. Malangnya, mereka tidak akan sampai di sekolah
sebaliknya turun di Pekan Pusing. Mereka kemudian akan pulang ke rumah pada
waktu tengahari apabila semua pelajar sekolah pulang iaitu kira-kira jam 2.00
petang. K1 menjelaskan bahawa pada awalnya dia rasa agak takut tetapi
lama-kelamaan ia telah menjadi suatu kebiasaan pada dirinya.
4.1.2 Aktiviti Semasa Ponteng.
Semasa
para pelajar berada di tapak perhimpunan, K1 dan rakan-rakannya pula akan
berada di kedai kopi untuk berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang akan
mereka lakukan kelak. Selain itu, mereka juga akan membincangkan (share) tentang perkara-perkara dan tingkah
laku negative yang telah dilakukan pada hari-hari sebelumnya. Antara topik yang
biasa dan popular di kalangan mereka ialah tentang menonton video lucah (blue film) dan mengenai teman wanita
mereka. Selepas itu, mereka akan menukar pakaian dan berkeliaran di pekan Batu
Gajah, Tanjung Tualang dan Pekan Pusing. K1 dan rakan-rakannya gemar bermain
video game di pusat-pusat internet (internet
café) yang tertentu sehingga tamatnya waktu persekolahan. K1 mengatakan
bahawa dia berasa sangat seronok apabila melakukan perkara-perkara seperti yang
telah dinyatakan diatas.
4.1.3 Sikap Terhadap Pencapaian
Akademik Dan Guru
Subjek yang paling tidak digemarinya
ialah Matematik kerana dia tidak pandai dalam subjek berkenaan. Dia juga tidak
gemari subjek Bahasa Melayu kerana gurunya garang dan biasanya memalukan K1 di
hadapan kelas. Waller (1939) menyatakan
segala masalah disiplin di sekolah adalah pertentangan pendapat antara guru dan
murid tentang sesuatu keadaan di sekolah, kerana masing-masing mempunyai
kemahuan yang berbeza, lebih-lebih lagi di sekolah menengah.
4.2 KES 2
Sasaran kajian (K2) juga berumur 15 tahun dan datang dari
keluarga yang agak besar. Dia mempunyai seorang abang dan 3 orang adik yang
masih bersekolah. Abangnya bekerja di sebuah kedai besi buruk di Jalan
Bendahara, Ipoh. Bapa K2 telah meninggal dunia semasa K2 masih di sekolah
rendah. Ibunya bekerja di sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian
Jelapang, Ipoh. Abang dan ibunya yang menjaga semua keperluan keluarga.
K2 tinggal di sebuah kawasan
setinggan berhampiran Pekan Lahat dan tidak jauh daripada Batu Gajah. Kawasan
itu juga didiami oleh warga Indonesia yang bekerja di kilang-kilang yang
berhampiran. Ibunya akan memberi duit belanja sebanyak RM6 setiap hari untuk
belanja makan dan tambang bas. Walau bagaimanapun, K2 tidak pernah menghargai pengorbanan
ibunya itu. Di lebih suka berada di samping kawan-kawannya berbanding pergi ke
sekolah. Kecenderungan untuk ponteng sekolah adalah sangat tinggi pada K2. Kawan-kawan
K2 pula adalah daripada golongan remaja yang telah berhenti sekolah dan mereka
yang tidak suka pergi ke sekolah.
4.2.1 Aktiviti Semasa Ponteng
K2 sering berkeliaran di kawasan
pekan dan warung-warung kecil. Menurutnya, topik yang biasanya di bincang atau share adalah cerita-cerita lucah,
perempuan dan lain-lain lagi. K2 berkata dia akan bertukar-tukar CD lucah (blue
film) daripada warga Indonesia yang tinggal di kampungnya itu. Thrasher
(1963) menyatakan bahawa perlakuan
murid banyak terpengaruh oleh jiran tetangga, rakan sebaya dan lain-lain yang
ada di sekelilingnya. K2 juga mempunyai tabiat meroko dan dia
merokok apabila berada bersama-sama kawan-kawannya. K2 juga selalu pergi
bermain snooker dengan kawan-kawannya semasa ponteng sekolah. Belanja permainan
pula ditanggung oleh kawan-kawannya yang lain. Menurutnya lagi, dia tidak takut
ditangkap polis apabila berada di pusat snooker kerana pemilik premis itu
adalah kawan baik salah seorang kawannya.
4.2.2 Kegiatan Luar Sekolah.
K2 juga ada terlibat dengan kumpulan
kongsi gelap (geng). Dia sudah menjadi ahli dalam kumpulan itu dari Tingkatan 1
lagi. Yuran keahlian yang perlu dibayarnya pada setiap bulan adalah hanya RM3.
Dia akan menghadiri perjumpaan mingguan kumpulan ini pada hari Jumaat selepas
waktu sekolah. K2 berasa amat bangga untuk menjadi anggota kongsi gelap itu dan
rasa dirinya itu selamat dan tidak terancam.
4.2.3 Sikap Terhadap Pencapaian Akademik Dan
Guru
Subjek yang paling di tidak berminat
ialah Bahasa Inggeris. Guru subjek ini katanya sering memalukan K2 di hadapan
kelas. K2 akan cuba keluar dan akan menyorok di tandas atau di belakang
bangunan. Duke (1980) mengatakan tiap-tiap individu
itu bertanggungjawab di atas perlakuannya sendiri. Murid-murid menjadi tidak
berdisiplin kerana mengikut kemahuannya sendiri tanpa sebarang pengaruh luar.
5.0 LANGKAH-LANGKAH YANG TELAH
DIAMBIL OLEH PIHAK SEKOLAH KEATAS K1 DAN
K2
Unit
kaunseling di sekolah ini telah mengumpul pelajar-pelajar yang ada rekod
ponteng dengan bantuan Pembimbing Rakan Sebaya. Maka K1 dan K2 juga telah
dipanggil. Mereka telah diberi motivasi dan sesi kaunseling ringkas untuk
mengubah sikap oleh ahli-ahli Pembimbing Rakan Sebaya dengan penyeliaan seorang
guru kaunseling yang terlatih. Abdul Rahman Arof (1984)
menjelaskan, disiplin dan tingkah laku murid dalam sesebuah bilik darjah
mungkin tidak terkawal jika terdapat pengaruh jahat dan liar seseorang atau
beberapa murid lain.
K1
dan K2 telah dipanggil untuk sesi kaunseling khas secara semuka dengan
kanunselor sekolah kerana kes mereka agak serius. Kaunselor telah menyelami
masalah dan punca utama yang mendorong tingkah laku negatif mereka. Nama mereka
telah diketengahkan dalam mesyuarat guru dan para guru di minta memberi
sokongan dalam menangani masalah ponteng K1 dan K2.
Pihak
sekolah telah meminta kerjasama pihak PIBG untuk membuat lawatan ke rumah K1
dan K2 dengan kehadiran guru kaunselor bersama. Kaunselor sekolah sempat
bertemu dengan bapa K1 dan abang K2 dan menerangkan tentang masalah ponteng yang sedang dilakukan oleh K1 dan K2.
Tindakan
disiplin dan hukuman yang agak keras pernah diambil terhadap K1 dan K2. Mereka
pernah digantung sekolah dan ‘didimeritkan’.
K2
kini sedang melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan di sekolah atas penyeliaan
Ustaz.
6.0 CADANGAN
Pihak
sekolah khususnya perlu mengatur langkah-langkah dan strategi-strategi untuk
menangani masalah ini pada peringkat awal lagi dan melakukan penyelidikan dan
pembangunan dalam bidang ini.
Pihak
sekolah juga harus mendedahkan tingkahlaku disiplin dan devian ini kepada
masyarakat.
Para
guru juga perlu memberi sokongan padu kepada guru kaunseling dan guru disiplin
khususnya tentang pelajar yang sedang dalam proses bimbingan dan amaran. Para
guru tidak boleh memalukan sasaran atau pelajar yang terlibat dalam kes
disiplin dan devian di khalayak ramai mahupun dalam kelas.
Para
ibubapa perlu lebih peka terhadap perkembagan sosial anak-anak mereka. Mereka
perlu sentiasa prihatin terhadap amalan, aktiviti serta rakan pergaulan anak mereka.
Persatuan
Ibu bapa dan guru (PIBG) juga dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menangani
isu-isu seperti ini. PIBG merupakan satu badan yang bergabung dengan
pentadbiran sekolah dan mempunyai hubungan langsung dengan pelajar.
7.0 KESIMPULAN
Masalah ponteng perlu diatasi dengan
kadar yang segera. Peratus pelajar ponteng sudah tentu akan meningkat dan
seterusnya akan menggugat impian kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan
dan berketerampilan tinggi. Masalah ini boleh menjadi kronik dan mampu
membantutkan kemajuan Negara khususnya dalam arena pendidikan. Kerjasama
daripada ibu bapa, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan adalah penting
untuk memastikan gejala ini tidak menjadi lebih serius dan kronik.
RUJUKAN
- Rajaguru dan Mohd. Daud
Saad, 1982. “Pengamatan Terhadap Masalah
Disiplin” dlm. Isu Pendidikan di
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
- Hassan Langgulung, 1983.
Psikologi dan Kesihatan Mental di Sekolah-sekolah. Kuala Lumpur:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Ibrahim Saad, 1982. Isu
Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Murad Mohd. Nor, 1980, “Disiplin di Sekolah,
Masalah dan Penyelesaian” dlm. Ucapan Seminar Nasional di Sekolah-sekolah
di Pulau Pinang pada 15 Disember 1980, terbit dalam Diskusi,
Januari 1985.
- Rahimah Hj. Ahmad, 1982.
“Pengalaman Persekolahan Murid-murid: Implikasi kepada Pengajaran Formal
dan Pentadbiran Sekolah” dlm. Jurnal 10, 1982/1983, Universiti Malaya, Fakulti
Pengajian Pendidikan.