Wednesday, 23 July 2014

Pedagogi Bermain Berasaskan Pendekatan Kognitif Jean Piaget



5.0 Pedagogi Bermain Berasaskan Pendekatan Kognitif Jean Piaget
5.1 Jean Piaget
            Jean Piaget telah dilahirkan pada 9 Ogos 1896 di Switzerland. Beliau merupakan ahli psikologi dalam bidang pendidikan. Beliau telah banyak memberi tumpuan dalam bidang perkembangan kognitif kanak-kanak. Beliau telah memberi banyak inspirasi kepada ahli-ahli psikologi selepas zaman beliau.
5.2 Peringkat perkembangan Kognitif Piaget
Kajian Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat mengikut perubahan umur mereka. Beliau membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat sensori motor, pra operasi, operasi dan operasi formal.
  • Sensori motor/peringkat deria motor (0-2 tahun)
Kanak-kanak menggunakan deria dan pergerakan fizikal sebagai saranan perkembangan kognitif berkaitan persekitarannya iaitu dari segi pengekalan objek atau gambaran objek di dalam memori.
  • Pra-operasi (2-7 tahun)
Kanak-kanak menggunakan minda sebagai medium pembentukan skema baharu. Mereka mewakilkan sesuatu objek menerusi simbol atau dikenali sebagai fungsi semiotik. Kemahiran bahasa juga akan kian meluas. Kanak-kanak akan mengalami sikap egosentrik dimana pemahaman persekitaran mereka bersumberkan perspektif sendiri.
  • Operasi konkrit (7-12 tahun)
Dalam peringkat ini, pemikiran mereka adalah logik dan masih terikat dengan situasi konkrit. Di samping itu, mereka akan berkebolehan untuk mengusai konsep pemuliharaan yang terdiri daripada tiga prinsip asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan.
  • Operasi formal (12 tahun dan ke atas)
Pemikiran mereka lebih bersifat abstrak dan sistematik. Mereka mula berkebolehan dalam membuat hipotesis serta egosentrik remaja akan wujud. Mereka susah menerima pendapat orang lain dan merasa sentiasa diperhatikan sekeliling.




5.3 Permainan Kognitif
                        Telah dibuktikan bahawa, permainan kognitif amat sesuai diaplikasikan, dipraktikkan dan digunakan sebagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran memandangkan bermain merupakan proses belajar yang paling berkesan. Piaget pada tahun 1962 telah mengemukakan 3 peringkat dan kategori main iaitu:
  1. Main Latihan (Practise Play) yang melibatkan deria motor dan penerokaan berasaskan aktiviti fizikal (6 bulan hingga 2 tahun).
  2. Main Simbolik (Symbolic Play) dan ia termasuk fantasi , sosiodrama, main olok-olok yang melibatkan penggunaan perwakilan mental ( 2 tahun 6 tahun).
  3. Main yang melibatkan aplikasi peraturan (7 tahun dan seterusnya)
Piaget, pada tahun 1962 juga telah mengklasifikasikan jenis permainan kognitif seperti berikut:
  1. Main Fungsian ( Functional Play)
  2. Main Fantasi ( Fantasy Play)
  3. Main Berperaturan ( Games & Rules )
  4. Main Konstruktif ( Constructive Play )
  5. Main Dramatik ( Dramatic Play )
5.3.1 Main Fungsian
Jenis permainan ini melibatkan aktiviti yang berupa gerak balas otot. Ia mempunyai ciri-ciri pengulangan, manipulasi dan peniruan. Kanak-kanak melakukan perkara yang diperhatikan dan dicubanya sendiri sebagai satu penerokaan. Jelaslah, ia memberi peluang kepada kanak-kanak berlatih secara fizikal semasa meneroka persekitaran.
5.3.2 Main Fantasi
Dalam jenis main ini, kanak-kanak lebih menggunakan imaginasi. Mainan ini berperanan untuk mencipta aktiviti-aktiviti baru di luar dunia ini berasaskan imaginasi dan daya kreativiti mereka seperti mengambil kotak untuk mewakili kereta.
5.3.3 Main Peraturan
Permainan ini lebih bersifat formal yang melibatkan peraturan yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Permainan board games seperti Monopoli, Sahibba dan sebagainya merupakan permainan berperaturan sedia ada ataupun peraturan yang dibina sendiri oleh pasukan yang bermain. Dari segi kognitif, permainan berperaturan ini membantu memperkembangkan kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, mencari alternatif, membuat andaian dan merancang strategi di kalangan kanak-kanak. Dari segi sosial dan emosi pula, main jenis ini membuatkan kanak-kanak mematuhi peraturan, mengambil giliran, menghormati rakan sepasukan dan pasukan lawan, berinteraksi dan berkomunikasi, berkompromi, bertolak ansur, hormat-menghormati dan menerima kegagalan.
5.3.4 Main Konstruktif
Permainan yang melibatkan pembinaan pengetahuan dan mengenali dunia dikatakan main konstruktif. Kanak-kanak menggunakan pelbagai material untuk menghasilkan ciptaan mengikut daya kreativiti. Antara contohnya ialah istana pasir dan memasak.
5.3.5 Main Dramatik
Ia melibatkan interaksi verbal di antara kanak-kanak untuk melakonkan watak-watak dalam aktiviti ini. Dua kategori main sosiodrama yang popular ialah main yang melibatkan peristiwa harian yang benar dan realistik serta sosiodrama fantasi dan imaginasi kanak-kanak.
5.4 Ciri – Ciri Main
5.4.1 Penglibatan
Penglibatan yang aktif berlaku apabila kanak-kanak bermain di mana pergerakan badan memainkan peranan yang penting dan diperlukan. Kanak-kanak menggunakan motor kasar dan juga halus. Di samping berinteraksi dengan rakan dan persekitaran, mereka juga memanipulasi bahan yang di main.
5.4.2 Motivasi Intrinsik
Motivasi intrinsik adalah motivasi atau rangsangan yang wujud dari dalam diri manusia. Maka bermain adalah keinginan secara semula jadi dan datang dari dalam diri kanak-kanak itu. Pada kebiasaannya, kanak-kanak bermain untuk keseronokan dan kepuasan diri dan bukannya disebabkan oleh ganjaran luar.
5.4.3 Main Tidak Boleh Paksa
Faktor pemaksaan tidak sama sekali wujud dalam memilih jenis permainan, masa dan cara bermain. Ianya harus datang dari keputusan kanak-kanak itu sendiri. Dengan cara ini, kanak-kanak dapat meneroka cara bermain serta menjelajah alam sekeliling serta menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya. Peranan guru adalah untuk menyediakan persekitaran yang memberangsangkan dengan sekatan yang paling minima.
5.4.4 Menyeronokkan
Kanak-kanak akan melalui proses penyesuaian diri semasa bermain dengan persekitaran, peraturan, amalan, budaya, keperluan hidup dan lain-lain peranan yang dijangkakan. Main sosiodrama atau simbolik seperti main doktor dan kahwin menyediakan peluang kepada kanak membuat adaptasi dan penyesuaian yang menyeronokkan berdasarkan budaya hidup di dalam atau luar masyarakatnya.

5.4.5 Penerokaan
Terdapat ciri penerokaan seperti meneroka alat permainan, tempat permainan, cara berkomunikasi dan persekitaran dalam kedua-dua jenis sosial dan kognitif. Setiap bahan, peristiwa dan rakan merupakan pengalaman baru dan mempunyai kelainan. Membuka dan memasang alat permainan merupakan suatu penerokaan dan dengan ini kanak-kanak dapat mengetahui fungsi alat permainan dengan efisien.
5.4.6 Simulasi
Main merupakan suatu bentuk simulasi jika ianya dilakukan menyerupai situasi sebenar. Lakonan yang disediakan dengan pakaian dan peralatan yang sesuai dan mirip kepada senario sebenar dapat memberi kefahaman dan penghayatan pelakon merasakan watak yang dipersembahkan dan dimainkan.

No comments:

Post a Comment